13 banduan dapat pembebasan awal sempena merdeka

0
2

Fitri Nizam

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata banduan tersebut didapati bersalah dan dipenjara sepanjang hayat pada 28 Disember 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hukuman penjara itu dibuat selepas mereka disabit kesalahan di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.

“Perkenan Sultan Abdullah ini dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan susulan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Kesemua 13 banduan yang dihukum menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2001 ini membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Sultan Abdullah, telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-55 yang bersidang pada 4 September tahun lalu.

“Susulan mesyuarat itu, Sultan Abdullah atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020, berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut, berkuat kuasa pada Ogos 2020,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, perkenan pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang menunjukkan kelakuan baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik

“Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat.

“Baginda turut menzahirkan harapan agar mereka menjalani kehidupan yang baru bersama keluarga tersayang dan masyarakat secara berfaedah dan masing-masing memainkan peranan sebagai rakyat yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. – MalaysiaPost