[Covid-19] RAKYAT bebas mengekspresikan semangat cintakan negara biarpun Hari Kemerdekaan tahun ini disambut secara sederhana dalam suasana norma baharu, kerana negara belum bebas sepenuhnya dari ancaman Covid-19.
“Dalam keriangan meraikannya, rakyat jangan pula lupa bahawa kita masih belum merdeka daripada ancaman virus Covid-19 kerana ia masih lagi berada di sekeliling kita.
“Sentiasa amalkan kawalan kendiri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan membudayakan amalan norma baharu dalam setiap aktiviti harian,” kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis semalam menahan 253 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 219 individu dikompaun manakala 32 direman dan dua lagi individu dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (116), gagal menyediakan peralatan/catitan
keluar masuk (23), tidak memakai pelitup muka (26), premis beroperasi lebih masa (2).
“Selain itu, ceroboh pusat kuarantin (2), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (70), gagal lunaskan bayaran pusat kuarantin (1), serta terlibat aktiviti perjudian (13),” katanya. – MalaysiaPost

