TARIKH kemerdekaan Sabah yang jatuh pada tarikh sama sambutan Hari Kebangsaan akan diwarta sebagai Hari Sabah jika gabungan parti pembangkang di bawah Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata Sabah perlu menuruti langkah Sarawak yang mewartakan 22 Julai sebagai hari kemerdekaan negeri itu atau Hari Sarawak dan disytihar sebagai cuti umum di negeri itu sejak empat tahun lalu.
Beliau menegaskan, usaha mewartakan Hari Sabah penting bukan saja untuk memperingati tarikh bersejarah ketika Sabah dibebaskan penjajah British, malah ia mampu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan dengan kedudukan Sabah dalam persekutuan.
“Kita mahu mewartakan Hari Sabah kerana ada dua perkara penting yang kita akan dapat jika ia diwarta. Pertama, kita dapat menangkis tuntutan Filipina ke atas Sabah kerana ada bukti kukuh yang Sabah sudah merdeka.
“Kedua, kita ada asas kukuh untuk menuntut hak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Sarawak dan Semenanjung. Maka, PRN nanti pastikan kita menang dan kita akan warta Hari Sabah secara rasmi,” katanya ketika sambutan `Hari Sabah’ di Bukit Padang, Kota Kinabalu, hari ini.
Hari Sabah merujuk kepada tarikh penjajah British di Sabah atau ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara menyerahkan pemerintahan kepada pemimpin dan rakyat Sabah.
Secara kebetulan tarikh itu jatuh pada 31 Ogos 1963, bersamaan hari ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang keenam.
Bagaimanapun, tarikh itu kurang diingati kerana tumpuan diberi kepada hari pembentukan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.
Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata walaupun beliau kini menjadi sebahagian daripada Kabinet Persekutuan, beliau tetap memperjuangkan hak Sabah dan tidak melupakan tarikh kemerdekaan Sabah.
Beliau menjelaskan, rakyat Sabah sepatutnya menyambut dua hari bersejarah pada 31 Ogos iaitu Hari Kebangsaan yang bersamaan dengan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Hari Sabah, iaitu hari Sabah dimerdekakan British.
“Kita hormat tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan mereka (masyarakat di Semenanjung) juga perlu menghormati kemerdekaan Sabah,” katanya. – MalaysiaPost

