MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah supaya sidang Parlimen secepat mungkin.
Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan bersama Majlis Presiden PH hari ini yang turut mendesak Perdana Menteri mengundur diri jika sidang Parlimen tidak diadakan secepat mungkin seperti dititahkan Agong.
“Majlis Presiden PH menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, semalam.
“Majlis Presiden turut menjunjung kasih di atas titah Tuanku bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Kami juga mengambil maklum kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bahawa Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda yang menitahkan agar Parlimen bersidang segera,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan dibuat secara bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Majlis Presiden itu berpendapat, adalah teramat jelas bahawa Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan menasihati Agong untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin.
“Sekiranya Perdana Menteri terus berlengah atau memberi alasan untuk melewatkan sidang Parlimen, ia bukan sahaja bermaksud beliau telah mengetepikan pandangan Tuanku itu, malah ia memberi gambaran bahawa Perdana Menteri telah hilang keyakinan untuk terus mentadbir.
“Dan jika Perdana Menteri tetap bertegas enggan menasihati Tuanku segera, beliau harus mengambil tindakan terhormat dengan mengundurkan diri,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.
Ia bagi membolehkan pelan pemulihan negara yang dibentang kerajaan semalam dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
Pandangan baginda itu dibuat selepas memperhalusi semua pandangan pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat pakar dari pelbagai agensi kerajaan. – Malaysiapost

