Teguran Istana, tamparan hebat kepada Perdana Menteri

0
3

TEGURAN Istana terhadap kerajaan adalah satu tamparan hebat dan ingatan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan teguran itu adalah untuk melihat semula adakah Perdana Menteri benar-benar mampu untuk memimpin barisan Kabinet beliau.

“Covid-19 perlu diurus lebih bijak dan tanpa birokrasi, kerajaan yang stabil, Parlimen perlu bersidang untuk bahaskan Pelan Pemulihan Negara.

“Setelah pelbagai usaha menegur kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin terhadap kepincangan dan kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri, hari ini Istana menegur keras terhadap kerajaan ini.

“Istana merupakan jalan terakhir untuk rakyat di bawah bernaung. Daulat Tuanku!,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Razlan, rakyat menegur kerajaan yang dipimpin Muhyiddin atas sebab keputusan yang dilakukan oleh beliau tidak membantu rakyat keluar dari situasi keselamatan.

“Krisis ini menjadi lebih teruk apabila kerajaan ambil langkah sambil lewa menggunakan data dari KKM (Kementerian Kesihatan) sebelum keadaan menjadi teruk.

“Kerajaan yang stabil akan berani menegur dan melaksanakan kerja demi rakyat! Tan Sri Muhyiddin harus bertanggungjawab terhadap segala kegagalan kerajaan sehingga kes-kes meningkat disebabkan keputusan beliau,” katanya.

Majlis Raja-Raja Melayu telah menghadiri perbincangan khas yang dipengerusikan oleh Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here