Tiada keperluan darurat disambung

0
2

MAJLIS Raja-Raja berpendapat tiada keperluan darurat disambung selepas tamat 1 Ogos ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, raja-raja pemerintah berpendapat tiada keperluan negara diletakkan di bawah pemerintahan darurat selepas berakhirnya tempoh darurat nanti.

Susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, Syed Danial berkata, raja-raja pemerintah telah mengambil maklum bahawa negara sedang menghadapi wabak Covid-19 dengan angka jangkitan harian yang besar meskipun telah berada dalam pemerintahan darurat.

“Keadaan ekonomi dan kewangan negara yang membimbangkan, suasana politik yang tidak stabil, perpaduan rakyat yang semakin retak, kesusahan rakyat yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan, suasana pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi terjejas serta umat Islam tidak dapat melakukan ibadah di masjid dan surau serta penganut agama lain turut terhalang daripada melakukan urusan agama masing-masing,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Justeru Syed Danial berkata, raja-raja pemerintah sependapat nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

“Program menangani wabak Covid-19 hendaklah difahami dan mendapat sokongan rakyat tanpa menimbulkan sebarang keraguan dan tanpa dianggap mempunyai sebarang muslihat politik yang terselindung.

“Pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021,” katanya.

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu hari ini telah dipengerusikan oleh Yang Di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dihadiri lapan raja pemerintah negeri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here