Negara perlu kerajaan stabil dan kukuh – Agong

0
3

NEGARA memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Pandangan ini dizahirkan oleh Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah kerajaan yang stabil juga dapat memulihkan ekonomi negara yang terkesan sepanjang pandemik ini.

Menerusi kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” titahnya.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80 peratus (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan Covid-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya ‘exit strategy’ bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini,” titahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here