BEBERAPA badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan kumpulan Melayu Islam menzahirkan kebimbangan jika Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam tidak mencapai matlamatnya lantaran sikap kerajaan yang tidak peka dan responsif akan keadaan serta keperluan rakyat.
Gabungan NGO Melayu Islam yang diketuai Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), berpendapat pelan pemulihan yang gagal sudah tentu akan memberi natijah yang amat buruk kepada negara apabila terpaksa berdepan pula dengan rakyat yang bukan sahaja kecewa, tetapi marah, miskin, lapar, sakit dan dibebani hutang keliling pinggang.
Koordinatornya, Ahmad Yazid Othman berkata, selepas mengadakan perbincangan antara ahli gabungan, ahli perniagaan serta pakar ekonomi dan kewangan serta pimpinan setempat, pihak gabungan menyatakan sokongan sepenuhnya kepada seruan 14 NGO Ekonomi Kebangsaan berkenaan moratorium untuk rakyat yang dibuat sebelum ini.
Menurutnya, gesaan itu adalah membabitkan pelaksanaan serta-merta moratorium pinjaman automatik tanpa faedah ke atas semua jenis pinjaman sehingga 31 Disember 2021 atau sehingga negara telah berjaya mencapai imuniti kelompok.
“Kami juga ingin mencadangkan agar moratorium diperluaskan skopnya merangkumi sektor pinjaman lain dengan tidak mengenakan sebarang caj tambahan atau faedah serta segala bentuk bayaran sewaan, lesen perniagaan dan lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selama tempoh moratorium ini berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, selain daripada moratorium, gabungan juga ingin menambah beberapa cadangan lagi bagi memastikan pelan pemulihan benar-benar dapat membantu meringankan bebanan fiskal rakyat secara tuntas, yang sememangnya telah cukup terbeban semenjak pandemik melanda negara awal tahun lalu.
Katanya, antara cadangan itu adalah pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,200 sebulan untuk tempoh enam bulan kepada mereka yang mempunyai pendapatan RM5,000 dan ke bawah; subsidi upah; penangguhan sewa premis serta pengecualian bayaran caj utiliti, cukai, lesen perniagaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama enam bulan.
Ahmad Yazid berkata, cadangan lain adalah tawaran rebat talian telefon dan internet; waktu anjal bekerja; kelonggaran syarat kewangan oleh syarikat perbankan; penggunaan dana tanggungjawab sosial serta menyediakan dana pusingan sekurang-kurangnya RM8 bilion untuk pemulihan serta pembangunan sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana Bumiputera.
“Atas rasa tanggungjawab terhadap seluruh rakyat Malaysia, tuntutan yang sama akan dibuat melalui watikah Gabungan kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
“Ia dengan harapan Sultan Raja-Raja Melayu turut bersimpati dan mengambil langkah proaktif membendung wabak Covid-19 sekaligus memulihkan semula ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata, dan tidak hanya mementingkan keuntungan sektor bank dan korporat semata-mata,” katanya. – Malaysiapost

