Pelan pemulihan timbulkan banyak persoalan – Pejuang

0
3
logo parti pejuang

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) berpendapat Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan semalam lebih berbentuk garis panduan atau sasaran melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Biro Penyelidikannya, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, berkata selepas mengamati ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ramai kini kebingungan akan apakah sebenarnya Pelan Pemulihan Negara yang dijanjikannya.

“Apa yang disampaikan oleh Perdana Menteri tidaklah begitu baharu dan fasa-fasa yang diperkenalkan lebih berbentuk garis panduan untuk menilai bilakah syarat-syarat PKP boleh dilonggarkan.

“Malah hubung kaitnya dengan kategori-kategori PKP yang sedia ada seperti PKP Bersyarat, PKP Diperketatkan dan PKP Pemulihan juga masih mengelirukan, terutama sekali apabila diperincikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, banyak isu tidak diperincikan dalam pelan tersebut yang sepatutnya sudahpun lengkap terjawab sekiranya pelan pemulihan itu benar-benar dirangka dengan niat serta keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia.

Menurutnya, turut dipersoalkan adalah mengapa pelan pemulihan itu lewat diumumkan sedangkan darurat telah diisytiharkan sejak 12 Januari lalu.

“Kenapa tidak dikemukakan lebih awal dan kenapa tiada usaha untuk menggembleng tenaga pemikir dan pengamal seluruh negara mahupun nasihat pakar-pakar luar yang sedia membantu untuk merangka pelan tersebut dari mulanya Darurat.

“Malah, kenapakah ia mengambil masa lebih 1 tahun dan 3 bulan sejak Perikatan Nasional mengambil kuasa sebelum sebuah Pelan seumpamanya diajukan?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pelan pemulihan itu dirangka secara tergesa-gesa susulan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan seumpama Majlis Gerakan Negara (Mageran), yang kini dijenamakan semula Majlis Pemulihan Negara (MPN), kepada Yang DiPertuan Agong.

“Adakah ia kerana Majlis Raja-Raja Melayu bakal bersidang bagi membincangkan situasi Covid-19 negara yang kian hari terlihat tidak terurus.

“Diharap kerajaan memahami tanggungjawabnya adalah melaksanakan tugas mengurus kebajikan rakyat tanpa perlu dipersoalkan kesinambungannya oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

“Pelan Pemulihan haruslah benar-benar pelan akhirnya, dan benar-benar meyakinkan dengan keperincian jelas ia menuju keselamatan nyawa serta kesinambungan hidup seluruh rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here