Rakyat perlu sokong usaha kerajaan pulihkan negara – YADIM

0
3

PELAN Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, perlu disokong oleh semua agar rakyat negara ini dapat kembali menjalani hidup sejahtera dan normal sebagaimana biasa.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan, berkata pihaknya melihat kerajaan kini berada di landasan yang betul dalam menangani wabak Covid-19 susulan pelaksanaan pelan berkenaan.

Menurutnya, justeru itu semua pihak harus memberi sokongan dalam menjayakannya dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta arahan-arahan semasa oleh pihak kerajaan.

“YADIM percaya semua langkah yang diambil kerajaan untuk menangani ancaman ini telah diteliti dan dibincangkan secara mendalam, lebih lebih lagi apabila menyentuh tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia memang sukar sebagaimana dimaklumkan Perdana Menteri, malah dari sudut ekonomi, Malaysia kehilangan RM1 bilion sehari sepanjang PKP dilaksanakan.

“Namun semua pihak perlu berlapang dada, bersabar dan tidak berputus asa. Kesukaran ditempuh ketika ini adalah untuk kesejahteraan kita pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin berkata, dalam usaha memelihara nyawa, seperti membendung penularan pandemik Covid-19, keputusan dan tindakan menguatkuasakan PKP adalah merupakan pengaplikasian prinsip Maqasid Syariah oleh kerajaan.

“Sewajarnya usaha ini disokong oleh semua pihak, sehingga tiada yang menangguk di air keruh dan mahu mengambil kesempatan di saat negara dan rakyat dilanda musibah.

“Percayalah, dalam setiap kesukaran yang kita alami itu, pasti ada kesenangan atau kemudahan selama mana kita terus komited dengan langkah ikhtiari dan bertawakal kepada Allah SWT,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here