USAHA memerangi wabak Covid-19 diibaratkan seolah-olah perjuangan melawan kuasa ghaib dan keadaan biasa tidak lagi wujud serta masa depan negara bergantung kepada sama ada kepimpinan negara dapat membawa perubahan.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata kepimpinan negara masa kini amat penting kesannya terhadap cara hidup rakyat.
“Sesungguhnya kita berada di dalam keadaan serba salah. Persoalan yang timbul adalah apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya seperti mana keadaan terdahulu.
“Kepimpinan seperti yang terdapat di masa lampau kini tidak relevan lagi. Di samping itu ia tidak dapat menangani pelbagai masalah berkaitan dengan ekonomi yang dihadapi serentak termasuklah masalah pengangguran tinggi, kehilangan pendapatan dan kewangan semakin kurang untuk membiayai, sebagai contoh, makanan dan kesihatan.
“Keadaan sebegini tidak pernah berlaku di masa-masa lampau. Pada masa dahulu keadaannya tidak serumit kini dan orang ramai lebih optimis. Kini mereka tidak lagi begitu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Perlembagaan dan institusi-institusi negara tidak terbentuk untuk menghadapi keadaan yang sedang melanda negara dan peranannya diragui kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya.
Beliau berkata, terdapat tiga kekurangan Dewan Rakyat, yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan wakil rakyat.
“Pertama, ia tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
“Kedua, Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.
“Ketiga, terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, tidak terdapat peruntukan di dalam Perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah itu.
Katanya, kini perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat mengenai keadaan semasa semakin tebal, walaupun ia tidak disuarakan oleh mereka, namun gelombang sepi itu mencerminkan kehilangan keyakinan oleh rakyat terhadap pemimpin mereka dan keadaan itu tidak harus dibiarkan.
“Maka itu, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab untuk memainkan peranan Keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara berada dalam keadaan genting ini.
“Peranan ini timbul selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu. Peranan ini wujud selaras dengan Sumpah Jawatan itu,” katanya.
Menurutnya, tanggungjawab itu memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.
Beliau berkata, pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang. – Malaysiapost

