Pasangan kekasih ditahan bantu siasatan kes buang bayi

0
2

LELAKI dan wanita dipercayai pasangan kekasih ditahan polis bagi membantu siasatan kes buang bayi yang ditemui di perhentian bas berhampiran Sekolah Menengah (SMK) Sri Sendayan, Seremban, semalam.

Pasangan terbabit ditahan di Garden Avenue Seremban 2, kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata hasil maklumat dan siasatan dijalankan berhubung kes berkenaan pihaknya berjaya menahan pasangan yang berusia 26 dan 23 tahun itu.

“Polis menahan seorang perempuan dan lelaki Melayu berumur 26 dan 23 tahun, disyaki kekasih di Garden Avenue Seremban 2 untuk membantu siasatan.

“Mereka akan direman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Semalam, tular di media sosial video dan gambar kes penemuan bayi perempuan di sebuah perhentian bas berhampiran SMK Sri Sendayan.

Bayi dipercayai berusia dua hari itu ditemui oleh seorang pekerja pembersihan sekolah berkenaan pada kira-kira jam 11.58 pagi dalam keadaan dibalut dengan tuala dan diletakkan di dalam kotak serta berada dalam keadaan sihat.

Bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Ja`afar Seremban untuk pemeriksaan lanjut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here