JABATAN Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang secara sengaja memproses atau menggunakan data peribadi seseorang bagi tujuan tertentu tanpa mendapat kebenaran individu berkenaan.
Rela melalui satu kenyataan hari ini memaklumkan akan menjalankan siasatan dalaman susulan tular mengenai pendaftaran secara automatik sebagai anggota Rela sejak semalam.
Dalam kenyataan itu, pasukan sukarelawan dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan maklum akan kegusaran orang ramai dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Menurutnya, siasatan akan dijalankan bagi mengenalpasti tatacara pendaftaran keanggotaan yang dilaksanakan sebelum Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia (Akta 752) 2012.
“Rela ingin menegaskan bahawa dakwaan menggunakan data peribadi seseorang lain untuk didaftarkan sebagai ahli Rela secara automatik tanpa kebenaran individu berkenaan adalah tidak benar.
“Perbuatan itu bercanggah dengan perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 6 (1) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut meminta mana-mana individu yang mendapati telah didaftarkan sebagai anggota Rela dan ingin menamatkan keanggotaan supaya menghubungi talian 03-88703770 dan emel [email protected] untuk pembatalan keanggotaan.
Rela memaklumkan, usaha melaksanakan program pemutihan keanggotaan juga sedang dilakukan dimana anggota yang tidak aktif dan telah mencapai tempoh lima tahun akan ditamatkan keanggotaan.
“Walau bagaimanapun, program pemutihan anggota berdasarkan Seksyen 9 Akta 752 sedang digantung sementara kerana Rela sedang menumpukan usaha melawan Covid-19.
“Bagi anggota yang masih berminat untuk menyambung keanggotaan boleh berbuat demikian dengan memaklumkan secara bertulis kepada Ketua Pengarah Rela,” katanya.
Sejak malam tadi, ramai pengguna Facebook dan Twitter yang menzahirkan rasa terkejut apabila nama mereka tersenarai sebagai anggota berdaftar pasukan sukarelawan itu melalui semakan atas talian di laman sesawang Rela.
Perkara itu kecoh di media sosial kerana ramai yang mengadu didaftar sebagai ahli tanpa ‘rela’.
Semakan di laman Facebook Rela Malaysia juga mendapati pelbagai komen pengguna yang inginkan pihak berkuasa menyiasat perkara itu kerana khuatir data peribadi mereka disalah guna. – Malaysiapost

