PENGERUSI Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Arifin Zakaria dilaporkan tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Bekas Ketua Hakim Negara itu tiba di Istana Negara kira-kira jam 9.45 pagi tadi dengan menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.
Kenderaan yang membawa Arifin itu kelihatan masuk menerusi Pintu 2 Istana Negara.
Difahamkan, pertemuan itu berkemungkinan besar antara lain bagi membincangkan tempoh mengenai sama ada tempoh pelaksanaan darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak.
Terdahulu, sesi menghadap tersebut berlangsung selepas siri sembah maklum oleh 15 wakil ketua parti bermula Rabu hingga Jumaat lalu, sebelum ia berakhir semalam.
Pada 9 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghadap Al-Sultan Abdullah.
Selain Muhyiddin, pemimpin politik lain termasuk Tun Dr Mahathir, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut berbuat demikian minggu lalu. – Malaysiapost

