MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) yang dicadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menangani pandemik Covid-19 ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu lalu, berbeza dengan konsep Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang dilaksanakan pada 1969.
Ketua Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata ramai yang kurang jelas mengenai cadangan mewujudkan jawatankuasa khas yang mirip MAGERAN itu.
Menurutnya, cadangan untuk menubuhkan MPN berbeza dengan konsep MAGERAN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
“MPN bakal dianggotai oleh tidak lebih dari 20 tokoh-tokoh personaliti yang bijak pandai dalam pelbagai bidang serta Majlis ini adalah secara tidak berpartisan.
“Semua ahli-ahli jawatankuasa MPN berkhidmat secara sukarela tanpa gaji tetapi hanya berdasarkan pada elaun sahaja dan semua yang terlibat bukan terdiri dari tokoh-tokoh pemimpin politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, had tempoh mewujudkan MPN juga bukan untuk selama-lamanya atau secara jangka panjang, tetapi ia boleh dibubarkan apabila kelompok imunisasi mencapai tahap 80 peratus di seluruh negara.
“MPN akan melaporkan secara terus kepada Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen dibenarkan bersidang.
“Malahan, setiap pelan tindakan serta segala urus tadbir MPN akan dibentangkan serta dimaklumkan kepada Parlimen,” katanya.
Khairuddin berkata, hala tuju MPN adalah berteraskan amalan demokrasi selaras dengan Perlembagaan Negara walaupun penubuhannya mirip pada MAGERAN.
“Hanya sebuah Majlis sepertimana MPN yang boleh merancang secara profesional untuk menyegerakan proses vaksinasi secara sistematik, berterusan dan menyeluruh seterusnya membanteras polemik pandemik Covid-19 demi untuk selamatkan rakyat mahupun ekonomi negara kita yang tercinta ini.
“Sokonglah penubuhan MPN demi kepentingan dan kesejahteraan masa depan bangsa serta negara,” katanya.
Sebelum ini, Dr Mahathir mencadangkan penubuhan MPN bagi menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19.
Bekas Perdana Menteri berkata, penubuhan majlis itu bukan untuk menggantikan kerajaan sebaliknya membantu mengurangkan kes Covid-19 sehingga negara mencapai imuniti kelompok.
Katanya, majlis terbabit juga akan memberi tumpuan kepada kemerosotan ekonomi serta kewangan selain isu berkaitan pendidikan. – Malaysiapost

