Nurul Huda Abhar
Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk menjadikan “prihatin rakyat” sebagai prinsip utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya.
Perdana Menteri berkata, perkara itu telah diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan PN sebelum ini.
“Saya berikrar untuk menjadikan prihatin rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan PN. Prinsip ini telah pun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.
“Insya-Allah, prinsip prihatin rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan.
“Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena sambutan hari kemerdekaan negara, malam ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin mengajak rakyat Malaysia mempertahankan kemerdekaan serta mempertahankan kedaulatan negara yang dikecapi sejak 63 tahun lalu.
Beliau juga mahu semua pihak memastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya.
“Alhamdulillah, kita telah menempa kejayaan dan kemajuan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dari sebuah negara yang mundur suatu ketika dahulu, kita telah menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang.
“Kita juga bersyukur negara kita kekal aman dan damai dengan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama. Ini adalah pencapaian kita, pencapaian saudara dan saudari semua,” katanya lagi.
Selain itu, beliau juga menyeru kepada semua rakyat agar menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin terhadap satu sama lain.
Sempena tema kemerdekaan ke-63, Malaysia Prihatin, nilai tersebut amat diperlukan untuk menempuh saat sukar di mana negara masih dalam pasca Covid-19.
”Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat , jiran , pekerja dan semua insan yang berada di sekeliling kita,” katanya.
Menurut Muhyiddin, pandemik maut Covid-19 memberikan satu impak dan pengajaran yang amat bermakna kepada rakyat.
Tambahnya, usaha dan keringat barisan hadapan yang bertungkus lumus melawan wabak Covid-19 adalah kerana dari sikap prihatin mereka.- Malaysiapost

