Nurul Huda Abhar
MESKIPUN tiada sambutan besar-besaran disebabkan pandemik Covid-19, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil semangat Allahyarham Tunku Abdul Rahman apabila menyampaikan perutusan Khas Hari Kebangsaan ke-63 di Stadium Merdeka.
Perdana Menteri mengimbau sejarah 63 tahun lalu, di mana Stadium Merdeka bergema dengan laungan “merdeka”.
“Saya berdiri di sini pada hari ini di suatu tempat yang amat bersejarah. Di sinilah 63 tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mengisytiharkan pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu.
“Pada pagi tanggal 31 Ogos 1957, di tempat yang amat bersejarah ini, Almarhum Tunku dengan disaksikan puluhan ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas malam ini.
Perutusan Khas tersebut disiarkan secara langsung tepat jam 9.00 malam dengan norma baharu dan tiada sambutan ambang merdeka berikutan negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Dalam ucapan tersebut, beliau juga berkongsi petikan keramat Tunku Abdul Rahman ketika mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1957.
“Dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa
“Inilah yang diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman yang disusuli dengan laungan keramat. Merdeka!,” ujarnya. – Malaysiapost

