[Dunia] PENERBANGAN pertama Israel ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka akan berlepas pada awal pagi esok, membawa delegasi Israel-Amerika ke Abu Dhabi.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook Kementerian Luar Negeri Israel, penerbangan komersial pertama itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Ben Gurion pada jam 10 pagi esok.
“Esok, penerbangan Israel pertama ke UAE akan berlepas dari Lapangan Terbang Ben Gurion yang membawa delegasi Isreal dan harapan untuk perdamaian serta kerjasama dengan jiran Emirat kami.
“As-salamu alaykum, semoga selamat sejahtera,” tulisnya.
Turut tertera di pesawat milik Israel, “salam”, “peace” yang bagaikan membawa mesej perdamaian dengan negara Islam itu.
Delegasi itu diketuai pembantu atasan dan menantu Presiden AS, Donald Trump iaitu Jared Kushner serta penasihat keselamatan Israel, Meir Ben Shabbat.
Ianya bertujuan mencari jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang termasuk penerbangan, pelancongan, perdagangan, kesihatan, tenaga mahupun keselamatan.
UAE menjadi satu-satunya negara Teluk dan negara Arab ketiga yang menjalinkan hubungan diplomatik penuh dengan Israel dan langkah itu dikutuk rakyat Palestin yang menggambarkannya sebagai pengkhianatan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengalu-alukan keputusan berkenaan dan menyatakan ia langkah penting untuk memajukan kesejahteraan serta keamanan di rantau ini. – Malaysiapost

