PRN Sabah: LDP pilih calon jujur, berintegriti

0
2

PARTI Liberal Demokratik (LDP) hanya memilih calon yang jujur dan berintegriti untuk membawa lambang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat, berkata pemilihan calon yang tepat penting bukan saja untuk memastikan kemenangan parti, malah dapat membela nasib rakyat.

Jelasnya, jika salah pilih calon, kawasan yang terbabit akan terbiar dan rakyat terpaksa menunggu kemajuan yang sepatutnya diperolehi.

“Kita mahukan calon yang jujur, kita mahu calon yang berintegriti untuk membangunkan kawasan.

“Disebabkan itu, saya sendiri turun padang untuk memilih calon yang akan membawa nama parti pada pilihan raya nanti.

“Saya pilih pemimpin yang betul-betul jujur, kita mahukan calon yang berintegriti dan mampu membawa kemajuan di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat Bongawan di Manggatal, Kota Kinabalu, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Kah Kiat turut mengumumkan calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.

Bongawan dan satu lagi kawasan, Membakut adalah kerusi DUN dalam Parlimen Kimanis yang menjadi tumpuan pada awal tahun ini berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, apa yang penting untuk Bongawan adalah pembangunan jalan raya, hospital serta bekalan elektrik dan air di sesetengah tempat.

Katanya, rakyat Bongawan sudah beberapa kali memberi peluang kepada pemimpin sebelum ini namun ia masih gagal dilaksanakan.

“Oleh itu, kali ini saya pilih sendiri calon LDP di Bongawan, calon yang baik dan jujur, Mohd Azree Abd Ghani.

“Beri peluang kepada beliau dan parti LDP. Kami akan lakukan yang terbaik untuk negeri Sabah,” katanya.

Mohd Azree, 29, anak jati Bongawan adalah antara calon muda yang bakal diketengahkan LDP dalam cubaannya untuk mencipta kejutan bagi memenangi PRN dan membentuk kerajaan baharu di negeri ini.

Difahamkan, LDP sudah menyenaraikan sejumlah nama calon bagi mewakili parti itu, termasuk di kawasan majoriti pengundi
Bumiputera Islam dan Kadazandusun Murut (KDM), selain kawasan Cina yang menjadi kerusi tradisinya sebelum ini.

Bongawan adalah kawasan dengan majoriti pengundi Bumiputera Islam, namun turut mempunyai ramai pengundi dalam kalangan KDM.

LDP sebelum ini mengumumkan mahu bertanding lebih 40 kerusi sejajar misinya pada PRN kali ini untuk menjadi kuasa ketiga bagi menghalang kemaraan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan). – Malaysiapost