TAN Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan kepada RM1,000 berbanding kini hanya RM200 dan RM300 diterima kepada mereka yang layak.
Perdana Menteri, berkata usul tersebut akan dikemukan pada mesyuarat jemaah Menteri minggu depan.
“Saya tahu kenyataan saya ini mempunyai implikasi besar, tapi saya tidak peduli.
“Yang penting ialah mata pencarian rakyat di akar umbi. Mereka menderita sejak sekian lama,” katanya ketika majlis perjumpaan bersama pimpinan masyarakat, di Sandakan seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Menurut Muhyiddin lagi, usaha membantu golongan berkenaan termasuk B40 merupakan aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinannya.
Beliau turut meluahkan rasa sedih dengan nasib golongan tersebut walaupun kini negara telah lama merdeka.
“Mereka ini manusia yang masih hidup, tetapi dengan pendapatan kecil, sukar untuk hidup.
“Kalau mereka sakit, saya tidak jamin mereka boleh hidup sejahtera,” katanya.
Muhyiddin kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Sabah, bermula semalam. – Malaysiapost

