Hihammuddin rujuk siapa, KJ atau Noor Hisham?

0
2

SIAPA yang dirujuk oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung kepincangan kerajaan dalam mengurus pandemik Covid-19 serta dakwaan kononnya wujud pembawa karenah birokrasi terutama dalam urusan pemilihan vaksin. 

Persoalan itu dibangkitkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang bertanya adakah yang dimaksudkan Hishammuddin adalah Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin atau Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Shamsul Iskandar melahirkan rasa hairan kerana sebelum ini Hishammuddin tidak pernah mengulas isu-isu yang tidak berkait dengan portfolio beliau sebagai Menteri Luar Negeri.

“Namun sejak nama beliau disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin, baru kini kita mendengar pandangan Hishammuddin mengenai pengurusan pandemik Covid-19.

“Hal-hal yang diungkap itu sebetulnya telah lama diwacanakan khalayak dan turut dibangkitkan beberapa tokoh politik, pakar perubatan dan kesihatan sebelum ini.

“Hishammuddin sewajarnya membangkitkan pertindihan tugas antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam pengurusan vaksin yang kelihatan sangat cacamarba,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar berkata setelah lebih 100 hari sejak tarikh perisytiharan darurat pada Januari lalu, rakyat meletakkan harapan kepada Kabinet ‘bersaiz raksasa’ untuk mencari jalan keluar dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Namun katanya, ternyata kerajaan gagal apabila kebanyakan menteri dan timbalan menteri dilihat tidak kompeten serta lebih banyak mengeluarkan kenyataan bersifat politik yang menghina serta menyakitkan hati rakyat. 

“Sebagai seorang yang cintakan negara dan percaya kepada demokrasi, saya yakin Hishammuddin yang kononnya disebut-sebut sebagai Perdana Menteri dalam penantian (Prime Minister in waiting) berkongsi semangat yang sama. 

“Justeru, saya berharap beliau akan turut memainkan peranan mendesak Mahiaddin (Muhyiddin) supaya menamatkan darurat dengan segera dan memulihkan demokrasi dengan membuka Parlimen,” katanya. 

Semalam Hishammuddin menerusi kenyataan menyarankan kerajaan belajar daripada kesilapan lalu dalam usaha melawan wabak Covid-19.

Beliau berkata, karenah birokrasi yang wujud menghalang Malaysia daripada menerima bantuan negara luar, ketika rakyat semakin gelisah dan letih menghadapi pandemik berkenaan.

“Karenah birokrasi menjadi penghalang utama dalam menerima bantuan dari negara luar dan berisiko menggugutkan hubungan diplomatik dan menjejaskan integriti negara,” katanya.

Hishammuddin berkata, banyak rakan Malaysia di seluruh dunia menawarkan bantuan namun birokrasi menghalangnya serta menjelaskan ia sepatutnya diterima dengan kesungguhan dan bukan keengganan.

“Ini pertimbangan antara melakukan perkara secara betul atau melaksanakan perkara yang betul. Menolak atau menerima tawaran ini turut akan beri kesan kepada kami di Kementerian Luar Negeri.

“Sekiranya tawaran ini tidak diterima dengan bersungguh-sungguh, ia berisiko menggugat hubungan diplomatik atau lebih teruk lagi menjejaskan integriti negara kita di pentas antarabangsa. Saya rasa ini bukan risiko yang wajar kita ambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here