KES sembuh harian Covid-19 menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan angka melebihi kes baharu harian selama tujuh hari berturut-turut.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh dijalankan, nilai kadar kebolehjangkitan Ro/Rt berjaya diturunkan kepada kurang daripada 1.0.
Menurutnya, trend kes positif dan kes sembuh baharu dari 31 Mei hingga 13 Jun 2021 menunjukkan penurunan kes positif manakala kes sembuh semakin meningkat.
“Sejak PKP yang diperketatkan dilaksanakan, nilai R-naught telah berjaya diturunkan kepada kurang daripada 1.0, manakala kes sembuh telah mencatatkan angka melebihi kes positif selama tujuh hari berturut-turut.
“Namun, ini tidak bermakna kita boleh berasa selesa dengan keadaan sekarang kerana kes positif harian dan kes aktif yang masih tinggi,” menurut kenyataan itu.
KKM menyeru semua rakyat Malaysia supaya terus bersatu dalam usaha melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan menaftar vaksinasi segera untuk lindungi diri dan keluarga. – Malaysiapost

