Agong terima menghadap pemimpin GPS menerusi sidang video

0
1

YANG di-Pertuan Agong hari ini berkenan menerima menghadap pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui persidangan video.

Empat presiden komponen GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) hadir bersama-sama menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi sidang video dari Pejabat Ketua Menteri di Kuching.

Menerusi kenyataan bersama, Presiden PRS, SUPP dan PDP bersetuju sepenuhnya dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Zohari Abang Openg, mengenai tiga faktor penting dalam memerangi Covid-19 dan ekonomi yang disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong semasa sesi tersebut.

“Pertama, berkenaan program vaksinasi akan dipercepat dan diselesaikan pada bulan Ogos untuk mencapai imuniti berkelompok.

“Kedua, kerajaan yang kuat dan stabil untuk memastikan pelaksanaan program Covid-19 dan ekonomi berasas.

“Akhir sekali, pelaksanaan Pelan Keluar Ekonomi pasca Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PRS, Datuk Amar Dr James Jemut Masing; Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Terdahulu minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima mengadap semua pemimpin utama parti politik bagi mendengar pandangan serta berbincang mengenai isu semasa khususnya berkaitan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here