PARTI gabungan Perikatan Nasional (PN) dan sekutunya perlu mengenal pasti berapa banyak kerusi yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata setiap parti tidak seharusnya menumpukan soalan mengenai berapa banyak kerusi yang akan diperolehi.
Beliau menegaskan, soal agihan kerusi tidak seharusnya menimbulkan masalah kerana yang lebih penting ialah untuk memenangi PRN dan mengambil alih kerajaan negeri.
“Pilihan kita sebenarnya mudah, iaitu sama ada mahu mengambil alih kerajaan atau hanya bertanding.
“Kalau bercakap pasal rundingan perlu ada kompromi. Soalnya bukan berapa banyak kerusi kita dapat, tapi yang penting ialah berapa kerusi kita boleh menang,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Sembang Santai Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin Bersama Media Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Masidi mengulas agihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang di bawah PN yang belum dimuktamadkan.
Katanya, apa yang penting semua parti perlu sepakat dan membuang ego masing-masing jika mahu mengambil alih kerajaan negeri pada PRN nanti.
“Saya dimaklumkan agihan kerusi di antara parti agak sukar dan ia diakui sendiri Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Perlu ada perundingan yang baik bagi membahagikan 73 kerusi dan proses itu belum selesai,” katanya.
Selain Bersatu, PN Sabah turut disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan yang terbaharu, Parti Maju Sabah (SAPP).
Gabungan itu turut bekerjasama dengan Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).- Malaysiapost

