Nurul Huda Abhar
ATLET Badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengenang kembali detik apabila terpilih sebagai pembawa jalur gemilang di temasya sukan Olimpik Rio De Janeiro, Brazil pada tahun 2016.
Sempena menjelang 31 Ogos hari kemerdekaan, beliau turut berkongsi perbualan semasa perarakan tersebut di mana jalur gemilang mendapat pujian serta pertanyaan daripada kontinjen Madagascar yang juga terlibat dalam temasya tersebut.
Chong Wei berkata, beliau menjawab pertanyaan tersebut dengan penuh semangat dan bangga kerana baginya jalur gemilang bukan sekadar bendera biasa.
“Beberapa minit sebelum perarakan masuk ke dalam stadium, sempat juga saya berborak dengan kontinjen Madagascar yang beratur di depan kami. Cantik bendera kamu, tapi rumit. Tak seperti bendera kita, simple je.
Balas Chong Wei, “Brother, ini bukan sekadar bendera. Ia lambang perpaduan satu keluarga besar. Ia negara saya. Ia satu tempat di mana keharmonian dan kebahagian dihargai dan dikecapi. Ia keluarga saya, rumah syurga saya.” tulisnya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Chong Wei turut menceritakan bahawa dia mengalami kecederaan kecil sebelum perarakan tersebut di mana tangan kirinya terkena pukulan raket.
Beliau berkata disebabkan insiden tersebut, wujud sedikit kerisauan jika tulang tangannya patah tetapi doktor mengesahkan tiada kecederaan tulang, hanya perlu dibalut dengan ais untuk meredakan bengkak di tangan.
“Tidak mungkin saya menghampakan jutaan rakyat Malaysia di rumah. ‘Game’ memang penting, tanggungjawab terhadap Jalur Gemilang dan Negara lagilah penting.
“Saya pun minta Sue Bock dapatkan pita dan balutkan tiang bendera dengan tangan. Biar tambah sokongan dan supaya tidak terlepas bendera kita nanti.
“Terbasah sikit jugak di mata. Bukanlah kerana sakit di tangan, tetapi kebanggaan menjulang bendera Malaysia, menjulang harapan jutaan rakyat Malaysia, menjulang nama negaraku, rumahku, Malaysiaku. Selamat Hari Jadi ke-63, Malaysiaku,” ujarnya
Nama Chong Wei tidak asing lagi dalam arena sukan badminton dan mengharumkan nama Malaysia dengan beberapa siri pencapaian bertaraf antarabangsa.
Namun begitu, beliau yang pernah merangkul gelaran pemain nombor satu dunia sebanyak dua kali mengumumkan persaraanya setelah 19 tahun bergelar jaguh badminton profesional.
Keputusan tersebut diambil setelah beliau didapati menghidap penyakit barah hidung yang didiagnos pada tahun 2018. – Malaysiapost

