Covid-19: Malaysia catat satu kematian

0
2

MALAYSIA hari ini mencatat satu kematian akibat Covid-19 setelah hampir sebulan tiada korban direkodkan dan sebilangan besar kes baharu adalah kes import dari negara India.

Kes kematian yang direkodkan hari ini melibatkan seorang lelaki warga emas berumur 75 tahun di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, warga emas terbabit mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) serta penyakit jantung.

Menurutnya, mangsa mula mempunyai gejala batuk dan sesak nafas pada 7 Ogos lalu dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah bagi rawatan jangkitan paru-paru (pneumonia).

Bagaimanapun, setelah itu mangsa mengalami gejala batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di hospital yang sama.

“Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara. Ujian saringan menunjukkan warga emas ini positif Covid-19.

“Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos lalu jam 5.10 petang,” katanya.

Kematian itu menjadikan jumlah angka korban akibat wabak Covid-19 meningkat kepada 126 orang, dan terakhir Malaysia mencatatkan kematian pada 29 Julai lalu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan hari ini terdapat 17 kes baru jangkitan Covid-19, yang mana 15 daripadanya merupakan kes import.

Tambahnya, peningkatan kes import tertinggi yang dilaporkan adalah dari India sebanyak 12 kes, manakala Arab Saudi (2) dan Jepun (1).

Dua lagi kes penularan dalam negara adalah di lalangan warganegara, kes di Selangor dan Kedah.

‘Tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya, – Malaysiapost