Ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM2.2 juta dirampas

0
2

LEBIH RM2.2 juta produk farmaseutikal tidak berdaftar dirampas serta 2,600 laman sesawang disekat dalam Operasi Pangea XIV di seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sepanjang tempoh operasi berkenaan sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 157 bungkusan pos yang didapati mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas.

Katanya, operasi dijalankan pada 18 hingga 25 Mei itu memberi tumpuan kepada penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahguna untuk tujuan rawatan Covid-19.

“Nilai rampasan adalah sebanyak RM108,352.00. Berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60% produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

“Sebanyak 18% daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik. Manakala selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.

“Sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM 42,213,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.

“Semasa operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu.

” Dalam serbuan tersebut, 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut.

“Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 2,071,855. Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 2,600 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan.

Katanya, Operasi Pangea XIV juga menunjukkan bahawa penjual yang tidak bertanggungjawab terus-menerus mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak Covid-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan Covid-19, pelitup muka (face mask), thermometer, sarung tangan, gaun pembedahan, test-kit untuk Covid-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual di dalam talian.

“Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama,” katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai untuk memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada atas talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk sebelum membeli produk tersebut.

Menurutnya, status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status”.

“Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut,” katanya.

Operasi itu melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pos Malaysia dan CyberSecurity Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here