KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) menyokong tindakan Kerajaan Negeri Pahang untuk tidak meluluskan mana-mana permohonan baharu aktiviti perlombongan di dalam kawasan Tasik Chini.
Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata keputusan itu selaras dengan persetujuan Kerajaan Negeri untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai kawasan Hutan Simpan Chini pada tahun 2019.
Beliau berkata, konsep kerjasama strategik antara KASA dengan agensi lain termasuk Kerajaan Negeri amat penting dalam memastikan kelestarian tapak “Biosphere Reserve,UNESCO” Tasik Chini sentiasa dilindungi sebagai khazanah alam dunia.
“Saya mengalu-alukan keprihatinan Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri yang mengambil perhatian serius terhadap kelestarian alam sekitar dan sumber air di kawasan Tasik Chini.
“KASA juga sentiasa mengutamakan kepentingan ‘planetery health’ (kesihatan bumi) demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS)sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan kualiti air Tasik Chini secara berterusan sejak tahun 2005.
Beliau berkata, terdapat sebanyak 15 stesen pemantauan kualiti air di lokasi yang berbeza dengan kekerapan pemantauan sekali setiap bulan bagi setiap stesen.
“Saya juga ingin merujuk kepada kenyataan media Ahli Parlimen Kuantan yang mendakwa kebarangkalian kehadiran logam berat di Tasik Chini dan menggesa JAS menambah parameter bacaan kualiti air di tasik tersebut.
“Sebanyak 20 parameter yang diambil kira (analisis) dalam pemantauan yang dijalankan pada setiap stesen iaitu Pepejal Terampai (SS), Keperluan Oksigen Biologi (BOD), Klorida, Fosfat, Sulfat, Fluorida, Keperluan Oksigen Kimia (COD), Nitrat Nitrogen, Ammoniakal Nitrogen (AN), Minyak dan Gris serta E.coli dan 9 parameter logam berat merangkumi Besi, Mangan, Tembaga, Nikel, Plumbum, Zink, Kadmium, Arsenik dan Raksa,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, pelaporan dibuat berdasarkan parameter-parameter utama iaitu data kualiti air bagi tahun 2016 sehingga sehingga Mac 2021 berdasarkan parameter BOD, SS dan AN menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih.
“Pada keseluruhannya kualiti air di Tasik Chini adalah di dalam kategori bersih dan selamat untuk semua hidupan terutamanya hidupan akuatik.
“Tiada keperluan untuk menambah parameter bacaan kualiti air kerana parameter yang digunakan oleh JAS adalah mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.
Semalam, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang memaklumkan dakwaan berlaku aktiviti perlombongan di Taman Negeri Tasik Chini adalah tidak benar.
Ini kerana, Taman Negeri Tasik Chini diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini mulai 13 Mac 2019
Kawasan itu juga dicadangkan sebagai kawasan baharu Rizab Biofera Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). – Malaysiapost

