“Ini penghinaan terhadap Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat”

0
1

AHLI Jawatankuasa Khas Bebas Darurat, Tan Sri Noh Omar menyifatkan kenyataan Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkaitan tempoh darurat sebagai penghinaan terhadap jawatankuasa berkenaan.

Noh berkata, sekiranya keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung tempoh darurat dibuat hanya atas nasihat Kabinet, maka apakah fungsi penubuhan jawatankuasa berkenaan.

“Bagi saya ini satu penghinaan kepada saya sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau Agong bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat Kabinet, soalan saya kepada Menteri kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?,” soalnya dalam hantaran Facebook.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 kerajaan telah membuat pengecualian untuk Jawatankuasa itu menasihati Agong mengenai darurat.

“Berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri dan jawatankuasa ini memikul tanggungjawab jelas dan spesifik iaitu – menasihati Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Agong.

“Sudah tentulah kenyataan Takiyuddin ini amat mengelirukan sekali gus menimbulkan beberapa persoalan termasuk apakah fungsi jawatan kuasa menasihati tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini diambilalih oleh Jemaah Menteri?

“Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?.

“Jika itu benar apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diujudkan?,” soalnya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik Agong beliau memohon Takiyuddin tampil memberikan penjelasan mengenai isu itu.

“Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini,” katanya.

Semalam, Takiyuddin dalam kenyataan berkata, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Agong dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan diteruskan atau tidak atas budi bicara Agong, tidak seharusnya timbul. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here