‘Siti Jamumall’ cemas bayi tertukar

0
2

USAHAWAN dalam talian, Siti Suriani Wahiddin dan suaminya terkejut dan cemas selepas menyedari bayi mereka yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi lain, semalam.

Beliau yang tirut dikenali sebagai Siti Jamumall berkongsikan perkara berkenaan melalui Facebook (FB) Live bermula jam 7.40 malam tadi.

Siti Suriani berkata, beliau melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital swasta di Shah Alam, awal pagi Jumaat dan pihak hospital semalam membenarkan beliau serta bayinya pulang ke rumah.

Namun, dia menyedari bayi itu bukan anaknya ketika suami mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu dan mendapati anak tersebut milik wanita lain yang dipercayai turut melahirkan bayi di hospital sama.

“Saya gementar dan terkejut selepas melihat tanda nama wanita lain sebagai ibu bayi itu yang diletakkan di kakinya. Saya tidak pasti bagaimana kejadian tertukar anak ini boleh berlaku.

“Pada tanda nama di kaki bayi itu, tertera nama ibunya dan waktu dilahirkan iaitu 3.02 petang 10 Jun sedangkan saya melahirkan anak pada 11 Jun pada jam 2.30 pagi,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Suriani berkata, selepas menyedari perkara itu, beliau dan suami terus menghubungi pihak hospital untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, jika suami tidak menyedari nama ibu pada tanda nama itu, sampai bila-bila menyangka anak itu kepunyaan mereka walaupun terdetik di hatinya wajah bayi ini berbeza.

Difahamkan, Siti Suriani melahirkan bayi lelaki yang merupakan anak keduanya kira-kira 2.30 pagi pada Jumaat lalu selepas berkahwin pada April 2019 pada usia 19 tahun.

Siti Suriani turut dikenali sebagai Siti Pok Pek turut membuat penstriman secara ‘live’ perjalanan beliau bersama suami serta bapa mentuanya ke hospital bagi memulangkan semula bayi dalam jagaannya dan mengambil bayinya semula malam tadi.

Sebaik sampai, suami dan bapa mentuanya bertemu pihak hospital yang kemudian mengesahkan bayi itu tertukar.

Siti Suriani yang menunggu dalam kenderaan sempat dimaklumkan oleh suaminya yang bayi mereka berada di hospital sebelum penstriman ‘live’ itu terhenti selepas hampir sejam 49 minit bersiaran.

Menerusi ruangan komen, kebanyakan netizan memberi semangat kepada Siti Suriani menghadapi detik cemas itu, dan ada juga mencadangkan beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak hospital kerana cuai.

Malah, ada yang memintanya untuk berhubung dengan keluarga bayi itu kerana wanita tersebut mungkin sudah menjadi ibu susuan bayinya.

Menerusi FB Live terbarunya malam tadi, Siti Suriani memaklumkan beliau sudah menemui bayinya itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here