Muat naik status sudah divaksin, mampu yakinkan rakyat

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan individu memuat naik status di media sosial untuk memaklumkan sudah divaksinasi adalah langkah baik.

Beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung meyakinkan mereka yang masih bimbang atau ragu-ragu untuk untuk mengambil suntikan berkenaan.

“Saya dapati ramai juga yang telah memuat naik status di media sosial memaklumkan telah mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Ini satu tindakan yang baik kerana secara tidak langsung membantu meyakinkan mereka yang khuatir untuk mendapatkan suntikan itu,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau juga berbuat demikian dalam usaha menyeru rakyat untuk mengambil lanhkah sama kerana sedar masih ramai yang meragui tentang pengambilan vaksin.

“Saya sendiri memuat naik status menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 16 Mac lalu dan menyeru rakyat turut berbuat demikian.

” Kita tahu masih ada ragu-ragu mengenai pengambilan vaksin Covid-19. ‘Testimoni’ rakan-rakan, saudara mara yang telah mengambil suntikan mampu jadi dorongan,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, beliau menyeru lebih ramai individu yang telah divaksin memaklumkan mengenainya di media sosial masing-masing.

“Semoga apa yang kita lakukan dengan niat yang ikhlas untuk kebaikan bersama itu mendapat ganjaran pahala Allah SWT,

“Baginda SAW bersabda: Barang siapa mengajak ke arah kebaikan, ia memperoleh pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala mereka yang mencontohinya itu sedikit pun,” katanya.

Semalam, Malaysiapost melaporkan seramai 4,227,554 individu di negara ini telah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19 setakat kelmarin.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 dalam kenyataan melalui laman Twitter berkata, jumlah individu yang menerima suntikan dos pertama ialah 2,929,736 manakala penerima dos kedua ialah sebanyak 1,297,818.

Selangor mendahului jumlah individu yang telah melengkapkan pengambilan vaksin dengan 170,855 diikuti Sarawak (133,516), Kuala Lumpur (122,564), Perak (121,740) dan Johor (118,317). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here