POLIS menjalankan siasatan terhadap kes penipuan kutipan derma kononnya untuk membayar ikat jamin lima penghantar makanan yang ditahan kerana terbabit dalam pergaduhan berhubung sensitiviti agama, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid, berkata penipuan kutipan derma itu dikesan dimuat naik dalam laman Facebook Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam bertajuk ‘Tabung Kilat Ikat Jamin Rider Food Panda’.
Beliau berkata, hantaran berkenaan mendakwa lima penghantar makanan itu ditahan kerana mempertahankan kalimah Allah dan mereka memerlukan wang untuk bayaran jaminan berkenaan.
“Hantaran itu mendakwa, mereka perlu membayar wang jaminan ikat jamin sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 seorang yang boleh disalur ke satu alamat web dinyatakan atau ke akaun CIMB bernombor 8604296996 dipercaya milik pertubuhan berkenaan.
“Polis menafikan kenyataan itu kerana kita tidak pernah mengenakan atau meminta apa-apa bayaran bagi ikat jamin terhadap orang kena tangkap (OKT) berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Fakhruddin berkata, pihaknya mengesyaki terdapat indidvidu atau persatuan tertentu yang mengambil kesempatan dengan cuba membuat kutipan derma terbabit untuk kepentingan peribadi.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung pernyataan kutipan derma yang dimuatnaik dalam Facebook itu,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah tertipu dengan sebarang hantaran melibatkan nama PDRM yang meminta derma dari individu atau persatuan.
“Masyarakat juga dinasihat untuk membuat semakan dengan pihak polis terlebih dahulu sebagai pencegahan awal sebelum menjadi mangsa penipuan media sosial,” katanya.
Dalam kejadian Jumaa lalu, enam lelaki warga tempatan ditahan berhubung insiden seorang pelanggan dipukul sekumpulan penghantar makanan di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya.
Mereka yang ditahan ialah lima penghantar makanan dan pelanggan itu yang berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun.
Polis menerima laporan daripada penghantar makanan berusia 19 tahun yang tidak berpuas hati dengan seorang pelanggan yang didakwa telah menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama. – Malaysiapost

