UMNO menafikan surat yang tular dalam media sosial berhubung pelucutan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein daripada parti itu.
Setiausaha Kerja Umno, Datuk Mohd Sumali Reduan dalam kenyataan, berkata surat yang tular tersebut palsu dan disebarkan untuk tujuan memfitnah pimpinan parti itu.
“Saya sahkan tiada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno diadakan hari ini (semalam) apatah lagi pelucutan keahlian. Ini semua palsu dan fitnah jahat,” katanya.
Semalam, tular sepucuk surat tular yang mendakwa keahlian Ahli Parlimen Sembrong itu daripada Umno dilucutkan serta-merta.
Malah, turut tular dakwaan yang mengatakan Hishammuddin sedang melakukan penjajaran politik baharu.
Terdahulu, Hishammuddin menyangkal dakwaan kononnya beliau akan diangkat menjadi Perdana Menteri ke sembilan bagi mengantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Luar itu berkata, beliau enggan melayan khabar angin itu selain mahu memberi perhatian terhadap kesejahteraan rakyat dan negara. – Malaysiapost

