Anwar kecam cadangan tubuhkan MAGERAN

0
2
anwar ibrahim

TINDAKAN bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam disifatkan sebagai jalan pintas untuk beliau kembali berkuasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata cadangan menubuhkan MAGERAN di bawah kerangka darurat tidak akan menyelesaikan kemelut dihadapi negara ketika ini.

Beliau berpendapat, cara terbaik adalah melalui demokrasi dengan pembukaan semula sidang Parlimen.

“Setelah pemimpin-pemimpin parti utama negara menghadapi Yang di-Pertuan Agong pelbagai pandangan telah dikemukakan.

“Kami dalam Pakatan Harapan (PH) dan saya baca juga kenyataan Presiden Umno nampak jelas tolak darurat, adakan sidang Parlimen segera dan dasar yang jelas untuk meringankan beban rakyat dalam masa kita hadapi kemelut dan malapetaka Covid-19,” katanya dalam satu rakaman video disiarkan di laman Facebooknya hari ini.

Menurutnya, soal perbincangan dengan Agong adalah soal yang tidak boleh bicarakan secara terbuka, tetapi apa yang boleh diumumkan lakukan secara terbuka adalah pendirian pemimpin-pemimpin parti.

“Ada orang yang mencari kesempatan dalam keadaan begini umpamanya untuk mencelah. Bila tanya setuju dengan darurat.. tidak setuju, tetapi setuju pula dengan penubuhan MAGERAN di bawah kerangka darurat.

“Kita kena ingat, kita minta sidang Parlimen sebab apa? Kerana kita demokrasi berparlimen. Kita menghadap Agong sebab sistem kita Raja Berperlembagaan.

“Jadi jangan kita korbankan kerana kepentingan untuk kembali atau untuk menjadi satu kuasa diktator bagi mengaut kuasa pada hal tidak ada alasan munasabah untuk kita tolak demokrasi atau pemesyuaratan dan sidang Parlimen,” katanya.

Anwar berkata, kalau pentadbiran negara diteruskan dengan darurat walaupun dengan alasan untuk menangani Covid-19, ekonomi negara tidak akan dapat dipulihkan.

“Ekonomi memerlukan keyakinan sama ada pelabur dalam negara atau pelabur asing melalui pelaburan dari luar dan untuk itu harus meyakinkan rakyat dan pelabur bahawa sistem negara stabil, pemerintahan mempunyai hala tuju yang jelas dan ada kebebasan.

“Kalau sistem dengan cara darurat dimana undang-undang dibuat tanpa perbahasan dengan hanya beberapa orang menentukan nasib 37 juta rakyat, ia tidak akan memungkinkan ekonomi dipacu dengan lebih meyakinkan dan segar.

“Jangan korbankan rakyat kerana mahu jalan pintas untuk merebut kuasa dengan menggunakan takrif darurat atau MAGERAN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here