SAINGAN Liga Super yang ditangguhkan sebelum Aidilfitri bagi memberi kepada skuad kebangsaan berdepan saingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Dubai, bakal bersambung pada 25 Julai ini.
Perkara itu diumumkan pengendali Liga Malaysia (Liga M), Malaysian Football League (MFL) menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, kempen Liga Premier 2021 bermula 3 Julai manakala Liga Super kembali bersambung tiga minggu kemudian.
Bagaimanapun, beliau memberitahu beberapa pindaan jadual terpaksa dilakukan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL) manakala Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Terengganu FC (TFC) bersaing dalam Piala AFC diwajibkan menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang ke tanah air.
Selain itu katanya, tarikh baharu juga melibatkan dua perlawanan Liga Premier yang tertunda sebelum ini antara Selangor FC 2 dengan Sarawak United FC dan Perak FC II bertemu Kelantan FC.
“Kedua-dua perlawanan tertunda itu akan dipinda pada tarikh baharu iaitu Perak II bertemu Kelantan FC di Stadium Ipoh pada 29 Jun manakala Selangor 2 menentang Sarawak United berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun.
“Selain itu, pindaan jadual Liga M tidak dapat dielakkan apabila JDT yang akan mengharungi kempen ACL di Thailand dikehendaki kuarantin 14 hari selepas pulang ke tanah air.
Sementara KDA dan TFC yang akan beraksi dalam Piala AFC dijangka menjalani prosedur kuarantin sama, namun sehingga kini Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) masih belum menetapkan tarikh dan venue baharu kejohanan berkenaan.
“Pada masa sama, pasukan kebangsaan yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menjalani kuarantin 14 hari, juga antara faktor jadual Liga Super dan Liga Premier dipinda,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ab Ghani melahirkan kegusaran jadual masih perlu dipinda jika AFC membuat keputusan meminda jadual Piala AFC 2021 ke tarikh berlainan.
“Merujuk kenyataan AFC bertarikh 27 Mei 2021, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) telah menarik diri sebagai hos akibat peningkatan penularan Covid-19 di negara berkenaan dan MFL telah dimaklumkan bahawa AFC akan memaklumkan venue baharu.
“Sekiranya AFC membuat keputusan meminda jadual yang melibatkan KDA dan TFC ke tarikh serta bulan berlainan dari jadual asal, ia akan memberi impak kepada penjadualan Liga M dan Piala Malaysia 2021,” katanya.
Katanya lagi, jadual Liga Malaysia tidak boleh dipinda melebihi November berikutan kebanyakan kontrak pemain dan pegawai hanya sah sehingga penghujung November. – Malaysiapost

