VETERAN DAP, Lim Kit Siang akan menamatkan siri kenyataan media berkaitan kerajaan gagal apabila Institusi Parlimen kembali dipulihkan.
Beliau menyatakan hasrat itu jika sistem demokrasi negara kembali dapat memainkan peranannya dengan mengadakan sidang Parlimen yang digantung sejak proklamasi darurat pada 12 Januari lalu.
“Saya akan menamatkan siri kenyataan media #kerajaangagal apabila Parlimen bersidang semula.
“Selepas Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang terhadap kuasa Eksekutif untuk memastikan tadbir urus yang baik, efisien dan efektif serta mengangkat kedaulatan undang-undang sebagaimana dimaksudkan tokoh-tokoh awal negara dan seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan, dalam masa kurang lapan minggu, beliau telah menulis 100 kenyataan media berkaitan kerajaan gagal.
“Semasa saya memulakan siri kenyataan media #kerajaangagal pada Ahad, 18 April 2021, saya tidak tahu berapa banyak kenyataan yang akan saya tulis.
“Pun begitu, saya tidak berhadapan sebarang kesukaran untuk menulis kenyataan media #kerajaangagal ini, kadang-kadang sehingga dua atau tiga sehari, menyentuh mengenai pentadbiran yang gagal dan kakistokratik, terutama dalam cara menangani wabak Covid-19,” katanya.
Kit Siang menegaskan, memanggil sidang Parlimen adalah langkah pertama untuk memastikan Malaysia cepat pulih daripada penularan wabak Covid-19 dan menyelamatkan negara daripada terjerumus ke lembah kakistokrasi.
“Saya memulakan siri kenyataan media #kerajaangagal dengan menyeru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba agar berhenti memainkan hujah semantik, sebaliknya fokus terhadap angka kadar kenaikan harian Covid-19 untuk memastikan angka ini turun ke julat dua angka.
“Jika tidak, beliau patut letak jawatan! Namun nasihat saya ini tidak diendahkan, ibarat mencurah air ke daun keladi,” katanya. – Malaysiapost

