Lebih 50 peratus rakyat mahu undang-undang lompat parti

0
2
PRN Sabah Bendera

LAPORAN Kajian pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) menunjukkan lebih 50 peratus rakyat Malaysia mahu undang-undang anti lompat parti diwartakan.

Hasil kajian dijalankan di seluruh negara mendapati 37 peratus rakyat mengatakan mungkin, manakala 12 peratus mengatakan tidak mahu undang-undang anti lompat parti diwartakan.

Cent-GPS juga melaporkan, 43 peratus responden mahu seseorang Ahli Parlimen dilarang daripada bertanding dalam pilihan raya akan datang sebagai hukuman yang harus dijatuhkan jika melompat parti.

“Sebanyak 34 peratus percaya Ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusi mereka, 14 peratus mengatakan Ahli Parlimen perlu dijatuhi hukuman denda manakala lapan peratus mengatakan Ahli Parlimen yang melompat parti harus dipenjara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Cent-GPS kajian itu adalah hasil tinjauan yang membabitkan seramai 1,109 responden.

“Dari aspek umur, 14 peratus responden berusia 16-20 tahun, 57 peratus (21-30 tahun), 11 peratus (31-40 tahun), 9 peratus (41-50 tahun), 6 peratus (51-60 tahun) dan 2 peratus berusia 60 tahun ke atas. Responden diberi peluang ditemuramah dalam bahasa pilihan mereka.

Cent-GPS juga melaporkan 53 peratus rakyat bersetuju tindakan Ahli Parlimen melompat parti mencetuskan krisis politik semasa, manakala 37 peratus mengatakan mungkin dan 10 peratus tidak bersetuju.

Apabila ditanya adakah mereka kehilangan minat dalam politik kerana aktiviti melompat parti melibatkan ahli politik, 46 peratus mengatakan ya, 36 peratus mengatakan agak, 18 peratus mengatakan tidak.

Sejak beberapa bulan lalu, Cent-GPS bekerjasama dengan Kaukus Ahli Parlimen Reformasi Sistem Pilihan Raya, sebuah usaha bipartisan yang bertujuan mencari jalan untuk menghentikan amalan lompat parti dalam kalangan ahli politik yang diketuai Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

“Sepanjang tempoh ini, pelbagai inisiatif dijalankan antaranya rundingan meja bulat bersama pihak berkepentingan, perundingan dengan firma undang-undang serta badan akademik antarabangsa di samping tinjauan seluruh negara,” katanya.

Hasil kajian itu Cent-GPS mendapati sejak PRU14, lebih 40 Ahli Parlimen Dewan Rakyat telah beralih kesetiaan parti mereka (sekitar 20 peratus daripada jumlah Ahli Parlimen).

“Di peringkat kerajaan negeri, Johor, Melaka, Kedah dan Perak telah bertukar kepimpinan akibat lompat parti.

“Ini bermaksud perubahan drastik turut belaku dalam tadbir urus kerajaan serta dasar, hala tuju dan keutamaan dalam kepimpinan negara.

“Perubahan ini memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat antaranya melibatkan aspek pekerjaan dan bantuan kerajaan, bahkan projek mega di peringkat negeri dan pusat turut terkesan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here