TAN Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari ini tidak sesekali berputus asa jika keputusan yang diterima bukanlah seperti diharapkan.
Perdana Menteri berkata beliau berbangga kerana setiap daripada pelajar terbabit adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah.
Katanya, ia berikutan situasi negara dan dunia yang bergelut dengan pandemik Covid-19.
“Anda semua diuji dengan cabaran getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru yang telah berhempas-pulas berusaha membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Muhyiddin berkata usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.
Sudah pasti katanya, harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan.
“Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti diharapkan, ia bukanlah penamat.
“Perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula. Banyak lagi ilmu serta bidang yang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh,” katanya.
Beliau seterusnya berkata apa juga keputusan yang diterima hari ini adalah penyuntik semangat untuk terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.
“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” katanya. – Malaysiapost

