BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa keselamatan negara akan tergugat jika pentadbiran negara lemah kerana tiada kesepakatan dalam kalangan ahli politik.
Kebimbangan Musa itu disuarakan menerusi ciapan di Twitter, dipercayai susulan dua kes pencerobohan kedaulatan negara aset keselamatan China, baru-baru ini.
Malah, beliau mendakwa ketidaksepakatan itu menyebabkan wujudnya pengkhianat yang bekerja sama dengan pihak luar.
“Bila pentadbiran negara dicabar, digugat, dilihat lemah kerana tiada kesepakatan ahli-ahli politik, ia akan menggugat keselamatan negara dan dengan wujudnya pengkhianat-pengkhianat yang bekerja sama dengan pihak luar akan menggalakkan pencerobohan dari luar,” katanya.
Semalam media melaporkan, kapal pengawal pantai China dikesan berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak iaitu kawasan yang terlibat dalam pertikaian tuntutan oleh negara itu dan Malaysia.
Insiden itu dilaporkan beberapa hari selepas 16 pesawat Tentera Udara China menceroboh ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu.
Kapal pengawal pantai tersebut memasuki perairan Malaysia pada 4 Jun lalu, kira-kira 84 batu nautika (155km) daripada pantai Miri.
Pada 3 Jun, Wisma Putra memanggil Duta Besar China ke Malaysia dan menyerahkan nota bantahan Malaysia sebagai tindak balas kepada insiden melibatkan penerbangan pesawat tentera China di ruang udara Malaysia di luar pantai Sarawak. – Malaysiapost

