KIRA-kira 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa mula menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 hari ini.
Perkembangan itu dinyatakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan di Twitter hari ini.
Beliau turut meninjau proses vaksinasi melibatkan warga media di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPB) hari ini.
“Vaksinasi pengamal media telah bermula hari ini. Kira-kira 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa menerima dos pertama hari ini.
“Dalam tempoh seminggu akan datang lebih 1,000 petugas media akan menerima janji temu (pengambilan vaksin),” katanya.
Khairy sebelum ini memaklumkan lebih 5,000 pengamal media daripada 144 agensi akan mendapat janji temu suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, beliau telah memberikan kelulusan untuk petugas media menerima vaksin secepat mungkin.
Baru-baru ini, Kelab Media Putrajaya (KMP) menerusi kenyataan berharap Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan kerajaan dapat menyegerakan pemberian vaksin kepada petugas media.
Menurut KMP, vaksinasi segera itu bagi membolehkan petugas media terus berbakti menyalurkan maklumat serta membawa agenda kerajaan untuk negara mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini. – Malaysiapost

