PAS istiqamah bersama Perdana Menteri

0
1

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan terus beristiqamah bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, PAS terlibat secara langsung dalam mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibejati dengan krisis kepimpinan dan moral sehingga membosankan rakyat.

Katanya, setelah membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengikut lunas demokrasi, PAS yang diberikan beberapa peranan dalam Kabinet terus menjalankan tugas masing-masing tanpa banyak soal, kerana meletakkan kepentingan rakyat yang lebih diutamakan.

“Secara khusus, PAS memahami keadaan darurat pandemik Covid-19 dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya dihentikan segala ‘politicking’ yang boleh menganggu kestabilan pemerintahan negara.

“Namun, masih lagi terdapat dalam kalangan kita yang seolah-olah meletakkan Malaysia berada di luar alam bumi.

“Mereka masih tidak henti-henti daripada ‘politicking’ dan sangat bernafsu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri dalam suasana Covid-19 yang sebegini rupa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Rasulullah SAW membandingkan kumpulan ini seperti mereka yang berada di petak bawah di dalam sebuah bahtera di mana ingin menebuk kapal daripada bawah.

“Ia kerana bersikap gopoh ingin mendapatkan air untuk mereka sahaja tanpa mengira semua orang yang berada di dalam bahtera. Mereka perlu dihalang agar semuanya selamat,” katanya.

Beliau memetik kata-kata Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan RA yang menegaskan: “Allah memberikan kuasa kepada pihak yang berkuasa untuk bertindak dalam apa-apa perkara yang tidak disebutkan oleh al-Quran.”

Sehubungan itu, beliau berkata, seseorang itu perlu bertindak dengan tegas tanpa perasaan was-was.

“Ia kerana was-was itu datangnya daripada syaitan,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here