Rekod vaksinasi harian tertinggi dicatat semalam

0
1
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mencatat rekod vaksinasi harian tertinggi semalam dengan pemberian sebanyak 151,309 dos.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan daripada keseluruhan dos yang diberikan semalam, seramai 105,722 individu mendapat suntikan pertama.

“Sementara 45,587 lagi menerima dos kedua,” demikian menurut jawatankuasa itu menerusi laman Twitternya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pula berkata sehingga semalam 1,180,744 rakyat Malaysia melengkapkan kedua-dua suntikan vaksin Pfizer-BioNTech di negeri masing-masing.

“Seramai 2,609,377 menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech atau vaksin Sinovac, menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 3,790,121,” katanya.

Data dan infografik JKJAV, menunjukkan Kuala Lumpur mencatatkan pemberian vaksin tertinggi iaitu 446,172 individu menerima dos pertama dan 108,740 dos kedua.

Ia diikuti Selangor (379,119 dos pertama, 152,215 dos kedua), Sarawak (256,044 dos pertama, 124,820 dos kedua) dan Johor (239,184 dos pertama, 107,192 dos kedua).

Perak pula (208,151 dos pertama, 108,136 dos kedua), Sabah (194,304 dos pertama, 95,379 dos kedua), Kedah (175,811 dos pertama, 72,127 dos kedua) dan Pulau Pinang (121,003 dos pertama, 74,431 dos kedua).

Negeri Sembilan (92,129 dos pertama, 59,986 dos kedua), Terengganu (89,886 dos pertama, 53,998 dos kedua), Melaka (65,641 dos pertama, 36,651 dos kedua), Perlis (38,105 dos pertama, 19,985 dos kedua ), Putrajaya (27,887 dos pertama, 13,565 dos kedua), dan Labuan (15,900 pertama, 13,902 dos kedua).

Setakat semalam, 52.7 peratus atau 12,774,132 individu telah mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,367,090 orang.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here