
KADAR kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) hari ini untuk seluruh Malaysia mencatatkan paras terendah sejak 15 Mei lalu dengan hanya 0.95 pada jangkaan mengikut kes harian.
Berdasarkan data dan infografik dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, negeri paling rendah Rt ketika ini adalah Perlis dengan 0.89 Rt, manakala Labuan mencatatkan paras tertinggi iaitu 1.26 Rt.
Sabah dan Negeri Sembilan merekodkan kadar kebolehjangkitan yang sama iaitu 1.14 Rt, manakala Melaka dan Sarawak juga pada kadar sama iaitu 1.05 Rt.
Kuala Lumpur mencatatkan kadar kebolehjangkitan 1.02 Rt dan Perak turut berada pada paras melepasi 1.0 dengan 1.01 Rt.
Negeri lain yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 bawah 1.0 adalah Selangor (0.99 Rt), Johor (0.98 Rt), Putrajaya (0.97 Rt), Pahang (0.97 Rt), Kelantan (0.96 Rt), Pulau Pinang (0.95 Rt), Kedah (0.93 Rt) dan Terengganu (0.92 Rt).
Penurunan kadar kebolehjangkitan Covid-19 seluruh negara ini adalah secara berturut-turut yang dicatatkan sejak 29 Mei lalu. – Malaysiapost
