DEWAN Tertinggi Barisan Nasional (BN) melalui Mesyuarat Agung Tahunan malam ini sebulat suara melantik Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Setiausaha Agung BN.
Pelantikan itu diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan malam ini.
Turut diumumkan adalah pelantikan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Perlis yang baharu.
Ahmad Zahid berkata, mesyuarat berkenaan diadakan secara maya yang turut dihadiri oleh kesemua empat parti komponen Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Katanya, sebagai memenuhi peraturan Akta Pertubuhan 1966, Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN telah membentangkan laporan tahunan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.
“Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu pendaftaran vaksin khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan penduduk di kawasan pedalaman.
”Dewan Tertinggi menyeru semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pengawalan penularan Covid-19 yang sangat membimbangkan pada ketika ini” katanya. – Malaysiapost

