SIASATAN Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) terhadap penerbitan rancangan All Together Now Malaysia, menjurus terhadap aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya kegagalan pemakaian pelitup muka.
Rancangan hiburan menampilkan 50 juri yang disiarkan sebuah stesen televisyen swasta itu menerima kecaman pelbagai pihak kerana disifatkan tidak sesuai ditayang ketika negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.
Turut dipertikaikan bagaimana rancangan realiti itu dibenarkan berlangsung dengan kehadiran dan jumlah selebriti yang ramai dalam satu masa.
Sumber KKMM memberitahu Malaysiapost, rancangan itu dirakam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) antara 3 Mac hingga 11 April 2021.
Ia disiarkan di stesen televisyen swasta itu pada 6 Jun lalu.
Sepanjang tempoh itu, kata sumber terbabit, Putrajaya berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan rakaman dijalankan.
“Bagaimanapun jelas mereka yang terlibat dalam rancangan itu tidak memakai pelitup muka dan ia jelas melanggar SOP walaupun dalam tempoh PKPP,” katanya.
Difahamkan, rakaman program itu tidak mendapat surat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana SOP PKPP membenarkan rakaman berlangsung dengan kehadiran penonton tidak melebihi kapasiti 50 peratus.
Terdahulu MKN mengarahkan siasatan dilakukan ke atas rancangan hiburan terbabit susulan dakwaan pelanggaran SOP.
Ketua Pengarah MKN, Datuk Mohd Rabin Basir dilaporkan berkata siasatan dikendalikan KKMM dan kementerian berkenaan sedang meneliti keseluruhan aspek rakaman program.
Menurutnya KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya jika mengenal pasti berlaku pelanggaran apa-apa SOP sepanjang rakaman program terbabit.
Rakaman musim pertama All Together Now Malaysia menampilkan 50 juri yang dilihat tidak memakai pelitup muka sepanjang rakaman dibuat.
Mohd Rabin menjelaskan tindakan penguatkuasaan masih boleh diambil jika berlaku ketidakpatuhan SOP, walaupun rakaman program sudah selesai. – Malaysiapost

