INSIDEN pembunuhan empat sekeluarga Islam akibat dilanggar penyerang Islamofobia di Ontario, Kanada pada Ahad lalu perlu ditangani secara holistik oleh semua pihak, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, gejala Islamofobia yang bermula dari ucapan kebencian hingga menjadi keganasan semakin meningkat dan perlu dikutuk oleh semua pihak yang berfikiran waras tanpa mengira bangsa atau agama.
“Walaupun kita memuji tindakan pantas diambil pihak berkuasa negara berkaitan dalam menangani insiden seperti itu dengan menahan dan menghukum pelaku, ia tetap menjadi masalah yang membimbangkan.
“Ini kerana insan tidak berdosa terus menjadi sasaran keganasan melampau termasuk pembunuhan besar-besaran hanya kerana agama atau etnik mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian tragik menimpa lima sekeluarga yang dirempuh ketika melintas jalan di Kanada, mengakibatkan empat daripadanya maut dan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun parah.
Menurutnya, perbuatan kejam itu juga merupakan manifestasi dari kebiasaan budaya kebencian anti-imigran, perkauman dan percambahan kelompok pelampau.
“Oleh itu, kami terus meminta pihak berwajib untuk berwaspada dan menangani masalah ini secara holistik,” katanya. – Malaysiapost

