SERAMAI 1,000 pekerja perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini melalui program perintis Trak Vaksin Bergerak, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata hari ini adalah giliran pekerja MRT di bawah MMC Gamuda menerima vaksin melalui program Trak Vaksin Bergerak.
“Seramai 1,000 pekerja terlibat dan selesai dalam tempoh kira-kira lapan jam dengan dua Trak Vaksin Bergerak digunakan.
“Kaedah ini kini dinilai dan dipandu arah oleh task force imunisasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut turun padang meninjau sendiri kelancaran program berkenaan.
Menurutnya, KWP sudah bersedia untuk meneruskan program itu secara meluas di ibu negara.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan KWP memperkenalkan Trak Vaksin Bergerak dengan menyasarkan pemberian vaksin dos lengkap kepada 400,000 penduduk.
Program itu menyasarkan penduduk di sekitar ibu negara terutama di kawasan padat seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Pusat Transit Gelandangan. – Malaysiapost

