Penularan Covid-19 kekal di tahap serius – Dr Noor Hisham

0
1
dr. hisham

PENULARAN Covid-19 di Malaysia masih dalam situasi genting dengan kes aktif terus meningkat, walaupun berlaku penurunan kes harian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata statistik menunjukkan penurunan jumlah kes pada epidemiologi (ME) ke-22 dari 30 Mei hingga 5 Jun lalu iaitu sebanyak 1,379 kes atau penurunan 2.6 peratus berbanding ME ke-21 dari 23 Mei hingga 29 Mei lalu.

Menurutnya, bagaimanapun dalam tempoh sama, jumlah kes aktif terus meningkat berikutan peningkatan kes yang mendadak pada ME ke-20 dan ME ke-21.

“Pada awal ME ke-21 (23 Mei 2021), jumlah kes aktif adalah 57,022 dan pada awal ME ke-22 (30 Mei 2021), ia meningkat kepada 78,017 kes [peningkatan 20,995 kes (37 peratus)].

“Meskipun terdapat penurunan 2.6 peratus kes mingguan, jumlah kes aktif masih terus meningkat. Pada 8 Jun, jumlah kes aktif Covid-19 yang masih dalam rawatan dan pemerhatian adalah 82,797 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga 6 Jun lalu, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu.

Katanya, iaitu dari 99 kepada 89 peratus, begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) adalah 54 peratus.

“Bagaimanapun, kadar penggunaan katil Covid-19 di ICU meningkat dari 96 peratus pada 24 Mei hingga 104 peratus pada 6 Jun.

“Kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, hospital di seluruh negara kini berhadapan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius iaitu kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).

“Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi serius daripada jangkitan COVID-19.

“Statistik diterima CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah antara 14 ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori lima, tempoh rawatan selama 19 ke 26 hari,” katanya.

Beliau berkata, kesinambungan daripada situasi itu, pihaknya mengingatkan situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius.

“Bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes Covid-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun.

“Situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here