
BAGI memudahkan penghantaran vaksin Covid-19 ke kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menawarkan bantuan kemudahan logistik kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
Ia dikemukakan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana ATM mempunyai kelengkapan logistik yang mampu melalui jalan kurang baik bagi memastikan vaksin dapat dihantar dan diberi kepada penduduk di pedalaman.
“Kalau boleh kita tidak mahu bawa masyarakat pedalaman keluar ke bandar, tetapi kita masuk ke dalam sampai perkampungan mereka. Sesetengah tempat mungkin tidak ada akses untuk masuk ke kawasan mereka. Jadi kita bawa jururawat, doktor dan sebagainya ke kampung mereka untuk vaksin.
“Kalau tiada akses langsung, kita akan bawa juga melalui helikopter, kita buka khemah di perkampungan mereka dan bagi suntikan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di ibu negara hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan memberi komitmen untuk meluaskan PPV sedia ada kepada kaedah pandu lalu yang melibatkan kos lebih murah, teratur dan mudah.
Menurutnya, negara kini berada dalam fasa kedua pemberian vaksin dengan stok vaksin sebanyak tujuh juta dos pada Jun dan 14 juta pada Julai.
“Untuk fasa kedua kita pelbagaikan PPV selain daripada yang berada di klinik kesihatan, hospital atau dewan atau pusat perniagaan.
“Kita hendak luaskan lagi pemberian vaksin melalui kaedah pandu lalu seperti yang dikendalikan oleh ATM hari ini dan semalam,” katanya. – Malaysiapost
