Kerajaan perkukuh MySPC lindungi rakyat – Muhyiddin

0
1

KERAJAAN akan memperluas dan memantapkan jaringan keselamatan sosial negara melalui penambahbaikan skim perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada kelompok yang tidak diliputi mana-mana jaringan keselamatan sosial.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menekankan mengenai perkara itu dalam mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), yang diaktifkan semula bertujuan menyelaras agenda kesejahteraan sosial menyeluruh dan bersepadu khususnya agenda menangani kemiskinan.

Menurutnya, MySPC yang ditubuhkan pada 2016 dianggotai 15 kementerian, Ketua Setiausaha Negara, Gabenor Bank Negara dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia, kali terakhir bermesyuarat pada Disember 2019.

“Pagi ini saya mempengerusikan mesyuarat pertama MySPC secara sidang video.

“Mesyuarat kali ini menumpukan agenda perluasan dan pemantapan program jaringan keselamatan sosial negara antaranya melalui cadangan penambahbaikan skim perlindungan oleh Perkeso kepada kelompok tidak diliputi mana-mana jaringan keselamatan sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut memberi penekanan kepada keperluan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) merentas agensi yang meliputi elemen pekerjaan, insuran sosial dan bantuan sosial.

“Pangkalan data ini bakal menjadi rujukan tunggal program dan profil perlindungan sosial negara.

“Ini bertepatan hasrat saya yang mahu satu pendekatan baharu lebih berkesan dalam menyediakan liputan perlindungan sosial lebih menyeluruh terutama kepada kumpulan rentan dapat disediakan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 serta kelompok yang tidak diliputi oleh mana-mana jaringan keselamatan sosial negara seperti mereka yang berada dalam sektor tidak formal dan persendirian, perlu dikenal pasti keperluan masing-masing agar bantuan segera yang bertepatan dapat diberi.

“Dengan jaringan keselamatan sosial negara diperkukuh dan diperluaskan melalui MySPC, saya yakin lebih banyak isi rumah kategori miskin atau miskin tegar dapat dibantu dan dilindungi.

“Bantuan sosial yang diberikan tidak harus terhad kepada bantuan tunai atau pemberian bakul makanan sahaja sebaliknya, meliputi aspek mobiliti sosial serta nilai tambah yang boleh meningkatkan pendapatan mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here